Wednesday 5 October 2011

SUSU IBU ELAK BAYI GEMUK

   PENGGUNAAN botol dan puting susu perkara biasa di kalangan ibu bagi menggantikan susu ibu untuk memastikan bayi mereka mendapat khasiat mencukupi untuk tumbesaran terutama apabila berada di tempat asuhan kanak-kanak.

Namun, tahukah anda penggunaan botol susu dan puting susu boleh memberi kesan jangka panjang kepada bayi.

Keadaan itu disebabkan teknik penyusuan berbeza kerana apabila bayi menyusu badan, lidah dan rahangnya perlu bergerak seiring dengan lidahnya yang perlu berada di bawah areola iaitu kawasan berpigmen (coklat) di sekeliling puting payudara dan menekannya ke lelangit.

Keadaan itu menyebabkan tisu di bahagian berkenaan mengalami tekanan dan memanjang mengikut corak hisapan penyusuan bayi terbabit.


Kemudian, bayi akan menjatuhkan bahagian belakang lidahnya untuk membentuk alur bagi membolehkan susu mengalir dari puting ke tekaknya.


Dia akan berhenti seketika untuk menelan susu sebelum mengambil nafas manakala bibirnya akan tetap berada di kawasan sekeliling payudara dan membentuk keadaan yang rapat dan ketat dalam mulutnya.

Pakar Pediatrik dan Penasihat Penyusuan, Dr Balkees Abdul Majeed berkata, keadaan berbeza apabila bayi menggunakan botol.

Katanya, susu akan terpancut keluar dengan laju dan anda boleh menyedarinya apabila susu menitis jika anda memegang botol secara terbalik.

Menurutnya, untuk memastikan bayi tidak tercekik, secara automatik dia akan mengangkat lidahnya dan menggunakannya sebagai penahan aliran susu terbabit.

“Sepanjang proses menyusu, bayi hanya perlu menekan puting getah yang keras tanpa menggunakan rahangnya untuk menghisap susu.

“Tidak seperti penyusuan susu ibu iaitu bayi perlu berusaha untuk mengeluarkan susu kerana mungkin aliran susu akan banyak pada peringkat awal dan menjadi semakin perlahan. Ini menyebabkan bayi perlu mengulangi proses hisapan berkenaan dengan lebih kuat,” katanya.

Dr Balkees berkata, kaedah penyusuan susu ibu menyebabkan bayi kurang cenderung menjadi gemuk berbanding bayi menggunakan botol susu kerana mereka mengawal pengambilan susu sendiri dengan cara tempoh serta corak meminum susu yang lama dan bersungguh-sungguh.

“Bayi yang minum menggunakan botol susu biasanya akan menghabiskan susu mereka bukan disebabkan rasa lapar tetapi disebabkan gemar menghisap kerana proses mendapatkan susu lebih mudah.

“Disebabkan perbezaan kaedah susuan ini ia mewujudkan permasalahan terutama pada awal minggu kelahiran apabila bayi cuba memahirkan diri dengan teknik menghisap susu yang berbeza,” katanya.

Katanya, pada peringkat awal penyusuan, bayi juga boleh terkeliru dengan penggunaan puting berkenaan sama ada ia diperkenalkan secara khusus ataupun tidak kerana teknik penyusuan susu ibu memiliki faktor pembelajaran yang tinggi walaupun ada kalanya terdapat bayi yang dilahirkan seolah-olah mengetahui dengan tepat apa yang perlu dilakukan mereka untuk makan (minum susu).

Di samping itu, sesetengah ibu yang memberikan puting pada anak untuk dihisap, mendapati penghasilan susu badan mereka sedikit. Ini disebabkan badan mereka tidak mendapat rangsangan secukupnya untuk menghasilkan susu untuk si kecil.

Jika bayi terjaga daripada tidur dan membuat gerakan atau bunyi-bunyian dengan mulut ataupun menghisap genggaman tangannya, ia menunjukkan bayi terbabit dalam keadaan lapar dan ingin menyusu.

Adalah penting untuk ibu menyusukan bayi mereka pada awal tanda yang menunjukkan bayi mereka lapar bagi membolehkan bekalan susu yang baik boleh dihasilkan.

Dr Balkees berkata, teknik menghisap puting berkenaan memerlukan kemahiran otot yang berbeza berbanding penyusuan badan dan ia boleh menyebabkan bayi sukar mempelajari cara menghisap susu badan yang betul sekiranya mereka didedahkan dengan penggunaan bahan terbabit pada peringkat awal.

“Kesan penggunaan jangka lama botol susu dan puting pada gigi bagi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun akan menyebabkan proses pertuturan mereka menjadi lambat.

“Ia akan menyebabkan banyak permasalahan kepada kanak-kanak terbabit terutama dari segi kualiti pembelajaran mereka,” katanya.

Di sebabkan itu, pemberian susu ibu adalah sumber makanan terbaik bagi bayi.
Bagaimanapun, bagi wanita yang pertama kali menjadi ibu, teknik penyusuan yang tidak betul mungkin mengurangkan motivasi untuk menyusukan bayi.

Namun ibu muda masih memberikan susu awal atau kolustrum walaupun bukan secara penyusuan terus daripada payudara. Keadaan inilah yang menyebabkan ramai cenderung menggantikan kaedah penyusuan badan dengan botol.

Dr Balkees berkata, jika keadaan ini berlaku, penggunaan cawan dianggap lebih sesuai untuk menggantikan botol dan puting bagi mengelakkan dan mengurangkan kekeliruan antara kaedah penyusuan badan dengan botol.

“Ia perlu diperkenalkan secara berperingkat seawal usia enam bulan supaya bayi tidak mengalami kejutan disebabkan peralihan itu.

“Selepas 12 hingga 18 bulan, sepatutnya ibu bapa sudah mula memastikan bayi tidak lagi bergantung kepada botol susu dan puting kerana ia boleh memberikan kesan yang kurang baik,” katanya.

Di samping itu, untuk memastikan keselesaan antara ibu dan bayi ketika memberikan susuan, bayi hendaklah diletakkan dalam posisi yang betul iaitu:


# Kepala dan badan perlu tegak bukan membongkok.
# Muka bayi menghadap payudara dan mencapai payudara (bayi sepatutnya mampu melihat wajah ibu bukan dada ataupun perut).
# Kedudukan bayi dekat dengan ibu.
# Keseluruhan badan bayi disokong sepenuhnya bukan hanya kepala dan bahu.

 Penggunaan botol boleh menyebabkan hubungan kurang baik antara ibu dan anak iaitu bayi hanya berpaut pada puting ibu saja mengakibatkan kesakitan pada puting, pengurangan pengeluaran susu badan disebabkan ketidakaktifan penyusuan serta menjadikan payudara membengkak disebabkan mastitis (penyakit radang (bengkak) susu).


sumber--PERSATUAN IBU2 COMEL MENGANDUNG 

Terima Kasih

No comments:

Post a Comment

© Cerita Tentang Kita | Template Designed By Blog Bingkisan Hati