Saturday 23 August 2014

Malaysia ku berkabung

Assalamualaikum,,

Sejarah tercipta di bumi Malaysia. Tamggal 22082014 ketibaan 20 mangsa pesawat MH17 yg ditembak jatuh di timur ukraine telah selamat tiba ke tanah air.

Setelah 37hari, mereka kembali. Hanya jasad tanpa nyawa. Dan siap bersemadi di alam yang abadi.

Rata-rata turut bersedih. Seluruh penduduk Malaysia berkongsi kedukaan yang sama. Sama-sama memberi penghormatan terakhir, bertafakur selama seminit. Alfatihah dikirim tidak putus-putus. Alunan surah yasin sepanjang hari. Memberi kedamaian pada yang menghayatinya, terasa dunia ini tenang seketika.Dan rasa sayu itu terus-terusan memburu.

Aku tak kenal sesiapa di dalam pesawat itu. Kalau ada yang ku kenal hanya dari bacaan2 sebelum ini. Cerita mengenai mangsa-mangsa pesawat malang itu terpampang di dada akhbar. Membuatkan aku terasa seolah-olah aku dekat dengan mereka.

Mereka saudara seagamaku. Kalau tidak seagama, mereka juga manusia seperti aku. Sungguh dunia semakin kejam hari ini. Nyawa manusia yang tidak berdosa terasa tiada nilainya lagi. Membayangkan pesawat itu tiba-tiba ditembak juga aku tidak mampu, apatah lagi membayangkan keadaan mereka yang menemui ajalnya dengan cara begitu.

Subhanallah, maha suci Allah.
Tiada sesuatu apa pon yang berlaku tanpa pengetahuanNya, tanpa keizinanNya.

Saat dunia diuji,
Saat mereka pergi ke alam abadi,
Aku sendiri memusahabah diri.

Melihat satu persatu keranda berisi jenazah2 itu diusung, hati ni tersentap sendiri. Itu pengubat kerinduan ahli keluarga, itu untuk ibu bapanya, suaminya,isterinya, atau mungkin anak-anaknya.

Yang dinanti sudah kembali, walaupun hanya untuk seketika. Sekurang-kurangnya penantian sudah tiba kepenghujungnya.

Berkalih ke ahli keluarga mangsa..
Melihat keranda yang sudah bernama, hati semakin sendu. Sungguh besar dugaan mu Allah, mana mungkin ada hati yang calang-calang tabah untuk melalui semua ini. Melainkan mereka-mereka yang Engkau pilih, mereka yang istimewa dari yang lainnya.

Meletakkan aku ditempat mereka. Alangkah kerdilnya diri ini. Disisi keluarganya juga aku tak mampu, apatah lagi disisi isterinya, wanita yang berkongsi segalanya. Tapi kulihat wanita itu cekal, lirikan matanya sahaja menggambarkan runtun hatinya. Aku sangka wanita itu kehabisan airmata untuk ditangiskan lagi. Yang pergi itu suaminya, tulang rusuknya, bapa kepada anaknya, imam untuk solatnya.

Semoga mereka semua tabah melalui semua ini. Ya, memberi kata-kata semangat ini jauh lebih mudah dari mendepani hakikat yang sebenar. Tapi siapa tahu dengan doa yang tak putus-putus ini, keadilan menemui kita semua.

Seharian aku berteleku depan tv. Aku mahu saksikan semuanya. Saksi kekejaman dunia pada negaraku.

Secekal mana pun pasti tertewas juga. Mampu bertahankan jiwa bila melihat anak kecil merintih di depan keranda si ibu, memohon diberi kesempatan menatap wajah ibunya buat kali terakhir. Meminta simpati diberi peluang melepas rindu untuk terakhir kali.

Ya Allah,
Simpatiku menggunung.

Si bayi kecil yang tak mengerti apa-apa. Kehilangan si ayah pada usia seawal itu, lagi sekali airmataku tertumpah.

Ya, ajal maut di tangan Allah. Setiap dari kita bakal merasa mati. Cuma cara yang berbeza. Ditakdirkan anak itu menjadi anak yatim sekelip mata, tapi aku percaya ada aturan Allah yang lebih baik dibalik semua itu.

Seluruh dunia menangisi tragedi ini. Kekejaman bila manusia manusia semakin keji. Keamanan negara sudah tidak se gah mana. Bila satu persatu bala, ujian diturunkan kepada bangsaku ini, aku merasakan masanya tidak lagi lama.

Mungkin beberapa ketika dari sekarang, keamanan ini juga bakal jadi kenangan, kisah lagenda untuk anak bangsa ku yang akan datang. Itu pun andai usia ku masih ada. Kerana tanpa sedar, mati itu bisa jadi pada bila-bila masa bukan?

Persoalannya, bersediakah aku untuk masa itu?








Terima Kasih

No comments:

Post a Comment

© Cerita Tentang Kita | Template Designed By Blog Bingkisan Hati